Sikap amanah menambah keberkatan hidup

DALAM sebuah hadis Rasulul lah s.a.w yang bermaksud: "Amanah menarik rezeki, khianat mengundang kefakiran". Sesungguhnya contoh terbaik dalam bersifat amanah adalah Nabi Muhammad sendiri.

Rasulullah sangat suka kepada orang bersifat amanah. Amanah membawa berkat dan Allah pasti memberikan rahmat. Apakah yang dimaksudkan dengan amanah?

Amanah bermaksud kejujuran, kepercayaan, melaksanakan sesuatu dengan betul mengikut lunas Islam. Ia juga bermaksud tanggungjawab yang diserahkan orang lain kepada kita dan perlu menunaikan sebaik-baiknya tanpa sebarang penyelewengan.

Ia adalah sifat kedua yang wajib bagi rasul. Firman Allah: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan dan melaksanakan amanah (bertanggungjawab) terhadap orang-orang yang memberikan amanah itu. Dan apabila kamu menghukum antara manusia, lakukanlah dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pelajaran yang amat baik padamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat". (Surah An-Nisa’ ayat 58)

 

Setiap orang sewajarnya menanamkan rasa tanggungjawab berkenaan sedalam-dalamnya di dalam dada. Selain daripada peraturan supaya orang menunaikan amanah dengan baik, perlu ditanamkan rasa iman dan takwa kepada Allah yang selalu memerhatikan segala tindak-tanduk manusia.

 

Iman dan takwa lebih berkesan daripada undang-undang. Dengan merasakan tanggungjawab itu sebagai satu kewajipan daripada Allah dan disertai dengan undang-undang, setiap rakyat dapat menunaikan tanggungjawab padanya, maka amanlah negara dan masyarakat daripada segala penyelewengan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Hai orang mukmin! Janganlah kamu berkhianat kepada Allah dan Rasul (Muhammad) dan juga janganlah kamu mengkhianati (memungkiri) amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedangkan kamu mengetahui". (Surah Al-Anfal ayat 27)

Allah menjanjikan tempat yang baik di akhirat untuk hamba-Nya iaitu: Orang-orang yang beriman termasuk: orang yang khusyuk dalam solatnya, orang yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang tidak berguna, orang yang membayar zakat, orang yang memelihara kehormatannya dan menjaga nafsunya dan orang-orang yang memelihara amanah dan menepati janjinya.

Mereka dijanjikan syurga Firdaus dan kekal di dalamnya. (Surah Al-Mu’minun ayat 1 hingga 10). Apa yang berlaku apabila amanah tidak dipelihara?

Apabila amanah tidak lagi menjadi pegangan maka berlakulah khianat. Menurut Kamus Dewan, khianat bermaksud perbuatan jahat yang bertujuan menganiaya atau mendatang kan kecelakaan ada orang lain, tipu daya, perbuatan belot dan tidak setia.

Perbuatan khianat itu berlawanan dengan amanah dan sangat buruk di sisi Islam. Ini kerana khianat adalah termasuk di dalam perbuatan munafik.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: "Tanda munafik ada tiga: Jika berkata ia dusta, jika berjanji ia mungkir dan apabila mengikat janji setia ia khianat". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Khianat boleh membawa kepada fitnah. Kedua-dua perbuatan ini adalah dahsyat dan boleh membawa kehancuran kepada seseorang atau organisasi.

Allah menjanjikan seksaan amat dahsyat kepada orang yang khianat dan pembawa fitnah. "Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fitnah kepada orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahanam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar." (Surah Al-Buruuj ayat 10)

Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada perbuatan khianat antaranya mempunyai perasaan permusuhan dan kebencian. Benci membawa kepada permusuhan.

Apabila menjadi musuh, mula timbul perasaan khianat. Kedua, berasa diri mulia. Apabila melihat orang lain lebih daripadanya, muncullah perasaan iri hati dan khianat.

Ketiga, takbur dan ujub. Mereka berasa takbur dan ujub dengan diri sendiri kerana merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain. Keempat, takut terlepas sesuatu tujuan atau habuan serta ghairah mencari ketua dan mencari populariti.

Akibat ingin mengejar habuan dan populariti, orang lain sanggup dikhianati. Sementara yang terakhir adalah busuk hati. Sesungguhnya busuk hati mengundang khianat dan membawa kepada fitnah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Orang-orang yang menyakiti Mukmin lelaki dan perempuan (dengan membuat fitnah) padahal mereka (orang-orang yang beriman itu) tidak berdosa maka sesungguhnya pembawa fitnah itu memikul beban pendustaan dan dosa yang nyata." (Surah Al-Ahzab ayat 58)

Perasaan dan perbuatan khianat boleh dihentikan dengan menanamkan rasa amanah. Apabila amanah dijadikan pegangan, amanah pada Allah, Rasul-Nya, diri sendiri, tanggung jawab dan masyarakat, akan terhentilah niat mengkhianati amanah.

Bagaimana hendak mendidik sifat amanah? Sifat amanah sebenarnya patut ditanamkan sejak daripada kanak-kanak lagi. Ibu bapa hendaklah mendidik anak dengan sifat ini supaya apabila dewasa, mereka tidak melanggar amanah.

Bagi menjaga amanah, pertama, kita hendaklah menjaga tutur bicara. Janganlah selalu membicarakan hal yang diamanahkan kepada kita kepada orang lain.

Kita hendaklah menjaga aib dan kehormatan orang lain. Kita juga perlu menjaga janji kerana mendustakan janji termasuk di kalangan orang-orang munafik.

Kepada mereka yang pecah amanah dan menipu sebenarnya kita tidak senang dengan pendapatan hasil daripada menipu. Kepada penipu, insaflah dan yang tertipu pula bergembiralah kerana pengalaman mengajar siapa yang boleh diberi amanah dan tidak, siapa yang boleh dijadikan kawan atau musuh.

 
Sidang Redaksi Portal

Penaung
Tuan Guru Hj Wan Muhammad b. Wan Osman

Penasihat
Ust. Hj Salleh b Ismail

Pengarah
Hj Shairazi Atiqullah facebook.com/ekhutbah

Ketua Pengarang
Ust. Hj Ahmed Khairi b Muhamed

Pen. K. Pengarang
Ust. Hj Mohd Zaini b Mustafa

Sidang Pengarang
Ust. Alias Abd Jalil almalakawi.wordpress.com 

Webmaster
Abdul Halim b. Mohd Pauzi