Tuan Guru Hj Abdul Latif Pondok Keroh Meninggal Dunia PDF Print E-mail
Written by ibnuatiq   
Thursday, 30 September 2010 07:20

Keroh – Seorang ulama’ tersohor tanahair iaitu al-Marhum Tuan Guru Hj Abdul Latif b Hj Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Teh Keroh yang merupakan pengasas dan Mudir Madrasah ad-Diniah al-Latifiah, Kg Kuak Luar, Pengkalan Hulu, Perak telah menghembus nafas terakhir lebih kurang jam 1 pagi tadi. Beliau merupakan antara generasi pertama kelahiran Pondok Pasir Tumboh, Kelantan begitu banyak berjasa dalam menabur bakti kepada agama dan masyarakat sehingga akhir hayatnya. Khidmat baktinya terus diperlukan oleh masyarakat tetapi Allah lebih mengasihi beliau

 

 pondok pakteh

Ucapan takziah diucapkan kepada ahli keluarga beliau dan seluruh warga Pondok Keroh. Kehilangan beliau amat dirasai tetapi kami doakan agar ahli keluarga bersama dengan anak didik beliau terus diberikan kekuatan oleh Allah dalam mentadbir dan menghidupkan pengajian Pondok Keroh dalam menyambung usaha al-Marhum selama ini

 

________

Bioadata Tuan Guru Hj Abdul Latif

Tuan Guru Abdul Latif yang mesra dengan panggilan Pak Teh mendirikan pusat pengajian itu pada tahun 1967 dan lokasinya adalah berdekatan dengan perkarangan rumahnya. Pusat pengajian teletak di Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu dalam daerah Hulu Perak.

Pak Teh merupakan anak jati kelahiran Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu.

Beliau dilahirkan pada tahun 1938 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu dalam tahun 1947 hingga 1953 dengan menamatkan pengajian hingga darjah 5. Pada peringkat awal, beliau mula menghafal kitab-kitab agama dengan dibimbing oleh Ustaz Omar Mohd Noh.

Selepas itu, beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat menengah di Sekolah Arab (sistem pondok) yang dikenali dengan nama Pondok Asam Jawa di Pendang, Kedah antara 1956 hingga 1959.

Pak Teh sebenarnya seorang pelajar yang pintar kerana berpeluang melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar tetapi tidak meneruskannya kerana kemiskinan.

Kemudian Pak Teh meneruskan pengajian di Sekolah Agama Pondok Pasir Tumboh iaitu Madrasah ad-Diniah Bakriah, Kelantan dari tahun 1959 hingga 1967.

Beliau sempat berguru dengan beberapa orang ulama terkenal seperti Tuan Guru Mohamad Saman, Tuan Guru Abdul Rahman Ahmad, Tuan Guru Sulaiman Mohd Rabik dan juga ulama terkenal yang bermastautin di Kelantan seperti Tuan Guru Mustafa, Tuan Guru Abdul Aziz dan Tuan Guru Hashim Abu Bakar.

Beliau telah dapat mengekalkan pengajian secara sistem pondok di mana pengajian ditumpukan dengan mempelajari kitab-kitab Thurath iaitu kitab-kitab tradisi Islam.

Beliau adalah pakar rujuk dalam berbagai hal mengenai masalah agama. Mewarisi minat bapanya, Pak Teh juga bercucuk tanam dan berkebun buah-buahan. Minatnya itu juga kini tertumpah pada anak-anak muridnya di mana pelbagai jenis tanaman ditanam di pusat pengajian tersebut.

Selain dapat memanfaatkan tanah-tanah yang ada, hasil tanaman ini juga dapat memberikan pendapatan sampingan apabila dijual. Antara tanaman yang ditanam seperti ubi kayu, pinang, pisang, nenas, kangkung, bayam, sawi, tebu dan bermacam-macam buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk pokok-pokok akar kayu untuk perubatan.

Pada peringkat awal penubuhan Madrasah Ad-Diniah Al-Latiffiah, bilangan murid yang menerima cara pendidikan yang diperkenalkan itu hanyalah seramai tiga orang.

Kini setelah madrasah tersebut melangkau usia lebih 35 tahun, bilangan murid yang belajar di situ melebihi 400 orang secara sepenuh masa.

Kebanyakan pengajian ilmu di madrasah Pak Teh adalah bersumber daripada Kitab-kitab Jawi yang lebih popular dikenali sebagai kitab kuning dan kitab-kitab Arab.

Kaedah pengajian di madrasah yang berasaskan sistem pengajian pondok selalunya menggunakan 2 kaedah utama iaitu umumi dan nizomi. Selain itu juga kelas hafalan dipraktikkan secara meluas dalam sistem pengajian pondok. Antara kitab yang digunakan di Pondok Pak Teh ialah Minhajul Abidin (tasawuf), Mughni Muhtaj (feqah), Syuzu (nahu), Hadis Muwatta Imam Malik, Fathul Muin, Fathul Wahhab, Tafsir Nasafi, Ibnu Akil, Syarkawi, Usul Fiqh, Matan Zubad (feqah) dan Matan Majmuk Azhari.

Pak Teh merupakan Ahli Jawatankuasa Syariah Negeri Perak sejak 1994. Pengetahuannya yang luas khususnya dalam pemakaian kaedah kitab Arab dan cermat dalam mengeluarkan sesuatu usul atau pandangan telah banyak membantu perjalanan jawatankuasa syariah dan Majlis Fatwa Perak.

Di atas sumbangannya yang besar, Pak Teh telah dianugerahkan kurniaan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) sempena menyambut ulang tahun hari keputeraan Paduka Sultan Perak ke-76. Istiadat pengurniaan tersebut telah berlangsung pada 19 April 2004 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

 

Kita sama-sama berdoa semoa beliau ditempatkan bersama orang-orang soleh di sisi Allah.. al-Fatihah

Last Updated on Thursday, 30 September 2010 09:43