Al-Quran, zikir, selawat vitamin hati PDF Print E-mail
Written by Norhayati Paradi   
Sunday, 12 February 2017 16:06

Setiap azam bukan sekadar kemas tertulis di atas kertas, tetapi diharap dapat diukir indah dalam kehidupan. Tiada istilah lambat dalam merencana dan melakukan kebaikan kerana aturan Allah SWT sentiasa tepat pada masanya. Bak kata bijak pandai, tulisan yang samar-samar lebih baik daripada sekuat-kuat ingatan.

Justeru, terjemahkan setiap keinginan dalam bentuk catatan. Catat dan semak berulang kali kemahuan diri sehingga mampu direalisasi. Setiap perkara dirancang perlu berpaksi pada keimanan yang teguh. Jika tahap keimanan baik, sebarang kekurangan yang wujud pada bidang lain iaitu kesihatan, ilmu, perhubungan malahan aspek harta kewangan dan kerjaya mampu ditampung serta diselia atur seeloknya. Sebaliknya, jika bidang yang lain cemerlang, tetapi keimanan lemah, maka segala dirancang akan lintang-pukang.

Hubungan teras antara hamba dengan Tuhan adalah solat yang mengingatkan kepada Pencipta dan menyedarkan manusia hanya hamba kepada-Nya. Solat mengandungi zikir kepada Allah SWT menerusi lidah, hati dan anggota. Daripada perhubungan itu, secara tidak langsung akan mencegah perbuatan keji dan mungkar. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.” (Surah Taha, ayat 14)

Sentiasa mohon pertolongan Ilahi Selain solat, doa dan permintaan ada zikir terhebat menjadi penghubung manusia dengan Yang Esa untuk mencapai penyelesaian masalah dan ujian dihadapi. Oleh itu, manusia tidak boleh putus hubungan dengan Allah SWT, sentiasa memohon pertolongan serta bergantung harap kepada-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dialah sahaja Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” (Surah al-Fatir, ayat 15)

Doa bukan sekadar permintaan, malah ia adalah kepasrahan jiwa dan keinginan serta penyerahan diri kepada Allah SWT. Menurut ahli psikologi, dengan berdoa akan memberikan aliran kuasa Yang Maha Kuasa datang kepada diri individu itu. Seumpama aliran wayar antara manusia yang lemah dengan Allah SWT Yang Maha Sempurna lagi Maha Gagah. Dengan doa aliran kuasa dan tenaga itu berlaku. Sumber pemantapan iman kedua selepas solat adalah al-Quran. Bak kata al-Hakim, “Jika ingin berbicara dengan Allah, maka dirikanlah solat dan jika ingin Allah berbicara dengan kita maka bacalah al-Quran.”

Sungguh, solat dan al-Quran tidak dapat dipisahkan. Justeru, jika berhajat untuk meningkatkan kualiti rohani semaklah 114 surat cinta daripada Allah SWT. Al-Hasan al-Basri berkata, “Sesungguhnya orang sebelum kalian menganggap al-Quran adalah surat-surat dari Rabb mereka. Pada malam hari, mereka selalu merenunginya dan akan berusaha mencarinya pada siang hari.”

Suburkan terapi al-Quran Al-Quran adalah satu keperluan dalam hidup. Oleh itu, suburkan terapi al-Quran menerusi tabiat cintakan ayat Maha Pemberi Cinta dalam setiap nafas yang dihela. Kaedah pengulangan menepati keinginan untuk menimbulkan ketagihan terhadap al-Quran. Selain itu, dalam usaha meningkatkan rohani lazimkan lidah dan hati untuk berzikir dan berselawat.

Destinasi kehidupan adalah untuk dekat dengan Allah SWT melalui jalannya iaitu Rasulullah SAW dan menggunakan selawat sebagai kenderaannya. Ulama menyarankan untuk berselawat sekurang-kurangnya 100 kali pada siang hari dan 100 kali pada waktu malam. Nampak mudah, tetapi percayalah hanya yang terpilih akan dapat merasai lazatnya selawat ini.

Jika kita tidak mampu membaca al-Quran atau hati tidak mahu berselawat kepada Rasulullah SAW, ia bukan disebabkan kita tidak ada masa dan ruang, malangnya al-Quran serta cinta Rasul yang tidak memberi ruangnya untuk kita. Al-Quran tidak memerlukan kita sebaliknya kita yang mendambakan al-Quran.

Buang ego, tolak segala keangkuhan. Ringankan lidah untuk berselawat, rajinkan mata melihat seterusnya membaca al-Quran. Sesungguhnya al-Quran, zikir dan selawat adalah vitamin hati manusia. Dapatkan dalam dos yang diperlukan oleh kehidupan supaya yang hidup bukan sekadar tubuh tetapi juga hati dan roh.