Pengasas Institut Qalam, Texas, Amerika Syarikat, Syeikh Abdul Nasir Jangda ketika menyampaikan ceramah dalam jelajah dakwahnya berkata, walaupun dilihat serba sederhana, tidak mustahil individu itu lebih sempurna dan gembira berbanding mereka yang mempunyai kehidupan mewah.

Begitulah tambah pendakwah kelahiran Dallas itu, keajaiban rezeki dan keberkatan dikurniakan oleh Allah SWT kepada setiap hamba-Nya yang diingini tanpa mengira pangkat serta latar belakang.

“Ramai beranggapan dengan memiliki harta dan wang yang banyak pasti menjamin kebahagiaan, sehingga kita sentiasa menyebut dalam doa supaya Allah memperluaskan rezeki, menambahnya serta dikurniakan tanpa henti.

“Sebaliknya kita lupa, bukan harta dan wang yang banyak itu menjamin kecukupan tetapi sebenarnya adalah keberkatan daripada Allah. Seharusnya kita perlu berdoa, ‘apa yang aku telah peroleh adalah lebih daripada cukup, tetapi aku cuma mohon agar engkau (Allah) suntik keberkatan dan keredaan dalam setiap rezeki dikurniakan kepadaku,” katanya.

Mendapat pendedahan agama Islam sejak kecil, Abdul Nasir berhijrah ke Karachi, Pakistan untuk menghafal al-Quran pada usia 10 tahun. Kecergasan yang dimiliki dalam hafalan membolehkan beliau berjaya menyempurnakan seluruh hafalan al-Quran dalam tempoh kira-kira satu tahun.

Selain pengajian al-Quran, beliau juga mempunyai lulusan bahasa Arab di beberapa universiti antarabangsa. Abdul Nasir kini turut berkhidmat sebagai Imam di Masjid Colleyville, Dallas dan mengajar di Institut Bayynah, di samping aktif berdakwah di seluruh dunia.

Mengulas lanjut, Abdul Nasir berkata, berkat bukan bermaksud banyak, tetapi mencukupi iaitu boleh memanfaatkan banyak perkara dalam kekurangan atau sekadar rezeki yang ada.

“Berkat tidak membawa apa-apa makna pada kuantiti tetapi ia adalah mengenai kualiti. Kualiti ini menjadi ukuran terhadap apa yang kita ada. Keberkatan adalah sangat luar biasa berbanding apa yang kita fikirkan. Inilah keajaiban rezeki daripada Allah,” jelasnya.

Memetik teladan daripada kisah Rasulullah SAW, beliau berkata, walaupun hidup dalam serba kekurangan dan sederhana, namun hidup Nabi Muhammad sentiasa tenang serta tidak dilanda kekusutan disebabkan kemiskinan.

“Pada hari Rasulullah wafat, baginda hanya meninggalkan bersamanya dua helai tikar dan satu atau dua jag minuman, sebilah pedang serta kelengkapan baju perang baginda, manakala di luar rumah baginda, hanya terdapat seekor keldai.

“Begitulah keadaan Rasulullah walaupun merupakan seorang khalifah dan individu hebat di muka bumi ini. Cuba bandingkan keadaan kita sekarang, kita mempunyai rumah besar, dalamnya terdapat beberapa keluarga yang masing-masing bekerjaya, tetapi dalam masa yang sama, masih berhutang. Situasi ini seperti ada sesuatu yang tidak kena atau kehilangan,” ujarnya.

Tambahnya, beliau turut memuji usaha pelbagai pihak dalam penganjuran program diskusi, seminar atau wacana dalam kalangan komuniti Islam bagi membincangkan isu mengenai pelaksanaan sistem kewangan Islam seperti perbankan syariah, pelaburan halal dan sebagainya.

Bagaimanapun, menurutnya, umat Islam perlu jelas mengenai asas kewangan yang mematuhi syariah agar keputusan yang dilakukan tidak salah dan secara tidak langsung, mendorong kepada perkara haram.

“Kita terlalu obses membincangkan bagaimana hendak memiliki sesuatu yang luar daripada kemampuan atau sesuatu benar-benar kita perlukan. Pelbagai alasan dan kaedah digunakan untuk membolehkannya dengan alasan kerana desakan hidup.

“Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam perkara melibatkan kewangan Islam terutama membuat pinjaman supaya tidak tersalah memilih yang bertentangan dengan amalan patuh syariah. Perkara ini juga mempengaruhi keberkatan rezeki,” katanya.